Click Tahukah Anda - BASHAR AL ASSAD RUNTUHKAN SYRIA

Sadish~



PEMBUNUHAN beramai-ramai orang awam seolah-olah tidak akan berakhir. Selepas Hitler membunuh lebih enam juta Yahudi semasa Perang Dunia Kedua, diktator Pol Pot membunuh tidak kurang dua juta orang awam, tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh 300 orang awam di My Lai Vietnam tahun 1969, pembersihan etnik yang mengorbankan lebih dua juta umat Islam di Bosnia tahun 1992 serta tentera marin AS membunuh 24 orang awam di Haditha, Iraq tahun 2006, banyak penganalisis sosial menganggap tidak berlaku lagi perbuatan kejam itu kerana manusia semakin bertamadun.

Tetapi tragedi pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam yang tidak berdosa berulang lagi. Kini perbuatan yang tidak bertamadun itu berlaku lagi dan yang malangnya ia berlaku di sebuah negara Islam.

Di Syria, tentera yang setia kepada diktator Presiden Bashar al Assad sudah membunuh hampir 200 orang awam. Pada minggu lalu tentera kerajaan menyerang sebuah kampung dan membunuh lebih 100 orang awam, sementara Rabu lalu pula 78 orang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

Dalam tragedi My Lai yang berlaku pada 16 Mac 1968 itu tidak didedahkan hasil siasatannya kepada umum. Kes ini ditutup oleh AS sehinggalah dibongkar oleh wartawan penyiasatan akhbar Independent, Seymour Hersh pada 12 November 1969. Dunia wajar berterima kasih kepada wartawan.

Selepas pendedahan eksklusif dalam Independent, pada 20 November tahun yang sama majalah Time, Life dan Newsweek membuat laporan khas sementara stesen televisyen CBS juga membuat temu bual-temu bual eksklusif yang akhirnya menggoncang kedudukan Presiden Richard Nixon, Penasihat Keselamatan Henry Kissinger serta Setiausaha Pertahanan Melvin Laird.

Tetapi di Syria, pembunuhan beramai-ramai dilakukan secara terbuka dan tidak disorok daripada pengetahuan media. Bagaimanapun Bashar tetap berdolak-dalik dan menuduh ia dilakukan oleh puak pelampau dan bukannya tentera yang setia kepadanya. Beberapa saksi mengatakan pembunuhan itu dilakukan oleh tentera kerajaan. Malah banyak gambar mangsa disiarkan di media termasuklah kanak-kanak yang pecah tempurung kepala mereka dibedil tentera yang setia kepada diktator Bashar.

Kalau Nixon takut dengan tragedi My Lai yang boleh menumbangkannya, Bashar pula seolah-olah tidak gentar dengan tindakannya membunuh orang awam termasuk kanak-kanak. Dia cuma menafikan terlibat dalam pembunuhan itu, tidak lebih daripada itu. Bashar masih yakin dia begitu kuat untuk menghapuskan pihak pembangkang dengan melancarkan perang ke atas mereka.

Campur tangan

Pembunuhan beramai-ramai ini adalah bermulanya detik kejatuhan Bashar. Ini kerana perbuatan ini mengundang campur tangan asing yang berlindung di sebalik badan dunia seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Walaupun sebelum ini rakyat bangkit menuntut reformasi politik di Syria tetapi kuasa luar tidak ada alasan lebih kukuh untuk mencampuri hal ehwal dalaman Syria. Tetapi isu yang kontroversi seperti pembunuhan beramai-ramai ini, kuasa luar ada alasan untuk mempercepat keruntuhan negara Islam ini.

Krisis di Syria bermula selepas beberapa negara Arab seperti Tunisia, Mesir dan Libya hancur akibat kebangkitan rakyat menumbangkan diktator. Ini sebenarnya bukanlah kebangkitan rakyat semata-mata tetapi campur tangan pihak luar yang mahu meruntuhkan negara-negara berkenaan. Pihak luar memainkan peranan di sebalik tuntutan keadilan sosial dan demokrasi dalam politik yang akhirnya mengundang campur tangan secara rasmi daripada NATO dan PBB menerusi Majlis Keselamatan.

Kebangkitan yang dikatakan dicetuskan oleh rakyat yang dahagakan reformasi politik ini merebak ke Syria tahun lalu selepas mendapat semangat daripada kejayaan rakyat menumbangkan diktator Hosni Mubarak di Mesir dan Muammar Gaddafi di Libya. Amerika Syarikat (AS) mengistilahkan kebangkitan ini sebagai Arab Spring. Hakikatnya bukanlah musim bunga tetapi gelora politik yang tiada berhujung bertapak di negara-negara berkenaan. Kini Syria menjadi salah satu daripadanya.

Bashar yang menggantikan ayahnya Hafez al Assad pada 2000 sebagai Presiden Syria. Dia meneruskan pemerintahan diktator di negara yang menjadi butang penting kepada dunia Arab terutama Turki, Lebanon dan Israel. Pada masa yang sama Syria mempunyai hubungan rapat dengan Rusia yang menjadi kebimbangan AS untuk menstrukturkan politik di Asia Barat.

Pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Bashar terhadap rakyatnya yang mahukan reformasi politik telah mengundang campur tangan kuasa asing dalam negaranya. Tindakan ini tidak menguntungkan sesiapa waima Bashar sendiri kerana kuasa asing akan menggunakan alasan ini untuk mencampuri hal ehwal dalam negara Syria. Kedegilan dan sikap diktator pemimpinlah yang memberi bala kepada rakyat apabila kuasa asing menyelinap untuk membantu menumbangkannya.

Bashar memang diktator. Dia patut ditumbangkan dan diganti dengan pemimpin yang berjiwa rakyat. Tetapi penentangan puak haluan kiri sebenarnya bukanlah seperti perusuh mahu menumbangkan Mubarak atau Gaddafi. Puak haluan kiri terutama Majlis Kebangsaan Syria (SNC) memilih pendekatan budi bicara untuk menurunkan diktator Bashar. SNC yang dipimpin oleh pembangkang Burhan Ghalioun berpangkalan di Istanbul Turki tidak bertindak ganas.

Perjuangan puak berhaluan kiri adalah mahu memecahkan kongkongan parti Baath yang memerintah Syria tanpa demokrasi lebih lima dekad lalu. Bashar pula bertindak menekan dan menindas pembangkang yang muncul sebagai suara pembaharuan Syria.

Tindakan Bashar untuk terus berkuasa membuatkan rakyat marah dam memprotes. Tindakan rakyat mendapat sokongan Liga Arab dan PBB menerusi Majlis Keselamatan dan mengenakan sekatan ekonomi ke atas Syria. Ini adalah permulaan zaman gelap Syria dan yang menanggung kesan daripada pergolakan politik ini adalah rakyat yang dinafikan suara mereka untuk memilih pemimpin. Mereka ini bukan sahaja ditindas malah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai hanya kerana menyuarakan hasrat mendesak diktator Bashar mengundurkan diri.

Pada akhir Januari lalu, Liga Arab mengarahkan Bashar membuat reformasi politik dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya kemudian mengadakan rundingan dengan pembangkang. Pada masa yang sama Liga Arab mengarahkan pilihan raya pelbagai parti diadakan dan dipantau oleh pemerhati antarabangsa. Tetapi hasilnya ialah tindakan ganas tentera kerajaan terhadap penunjuk perasaan yang memaksa pilihan raya ditangguhkan.

Sejak Jun tahun lalu Syria telah menjangka akan berlaku krisis ekonomi yang teruk apabila kadar pengangguran, kemiskinan dan kenaikan harga barang yang tidak terkawal. Kini sektor perdagangan dan perladangan mengalami kesan yang teruk apabila Liga Arab, Kesatuan Eropah (EU), AS dan negara jirannya, Turki mengenakan sekatan ekonomi.

Akhirnya Syria bukan sahaja berdepan dengan krisis politik akibat kebangkitan rakyat menentang pemimpin diktator malah ekonomi yang merosot dengan pantasnya. Akibatnya mata wang pound Syria menjunam apabila diniagakan di pasaran gelap. Ketika ini nilai mata wang pound Syria jatuh lebih 60 peratus berbanding dolar Amerika.

Kalau Syria hancur selepas ini, ia dihancurkan oleh pemimpin diktator yang mengundang campur tangan asing. Sekiranya Bashar bertindak demokratik dan menerima kewujudan parti pembangkang, Syria tidak berada dalam keadaan yang tenat seperti sekarang.


Oleh : Ku Seman Ku Hussain

Penulis : Unknown ~ Sebuah blog yang menyediakan berbagai macam informasi

Artikel Click Tahukah Anda - BASHAR AL ASSAD RUNTUHKAN SYRIA ini dipublish oleh Unknown pada hari Monday, 13 August 2012. Semoga artikel ini dapat bermanfaat.Terimakasih atas kunjungan Anda silahkan tinggalkan komentar.sudah ada 0 komentar: di postingan Click Tahukah Anda - BASHAR AL ASSAD RUNTUHKAN SYRIA
 

0 comments:

Post a Comment

how to be pro???